SELAMATKAN BATU UBAN - TAPAK WARISAN DAN PERADABAN MELAYU PULAU PINANG
Satu lagi tapak perkampungan Melayu yang terunggul di P.Pinang bakal tersungkur ranap dan hilang pupus daripada pemandangan apabila pembangunan pesat dan arus deras komersialisme yang gagah dan rakus mengambil tempat di Batu Uban P. Pinang.
Sebelumnya perkampungan Melayu Bukit Kecil dan beberapa tempat hilang lenyap di depan mata tanpa usaha mengatasinya. Kita pun seperti merelakan. Apa boleh buat sudah suratan. Terima sajalah takdir yang berlaku. Mungkin ada hikmah disebalik pembangunan.
Terletak di halaman hadapan USM, universiti penyelidikan tersohor yang berdiri megah sejak tahun 1969. Dalam kerangka pembangunannya selama 40 tahun lebih bagaimana institusi tersebut boleh terlepas pandang tentang nilai sejarah dan peradaban yang begitu tinggi di persekitarannya. Dalam lengkongan dan spektrumnya pula. Daya pengesanannya mesti tajam.
Bahawa P.Pinang punya sejarah dan warisan gemilang sebelum penjajah tiba. Para peneroka dan tokoh-tokoh kita telah memulakan proses perbandaran dan asas ketamadunan. Lama sebelum datangnya pemodenan. Mereka telah memulakan tamadun bangsa.
Pelabuhan, pusat pentadbiran, institusi pendidikan dan kawasan strategik. Berbagai misi serta gagasan telah pun dimulai. Merekalah yang meletakkan batu asasnya. Ternyata tempat yang mereka buka telah menjadi pusat pertumbuhan termaju termasuk USM sendiri.
Tidak jauh daripada USM terdapat rumah warisan Syed Sheikh Al Hadi dan pusara Allahyarham, Masjid Jamik Jelutong yang didirikan oleh Datuk Nakhoda Kecil pembuka Tanjong Penaga yang kini bernama George Town, perkuburan Datuk Keramat seorang peneroka dan ulama dari Aceh, rumah penulis novel Melayu yang pertama Ahmad Rashid Talu, Bukit Tok Setia dan Datuk Janaton di mana bertempatnya USM Minden P.Pinang kini.
Umum mengetahui rumah bersejarah Syed Sheikh Al Hadi sudah jadi apa ? Kita sekadar boleh menyebut rentetan keunggulannya. Tokoh yang memulakan gerakan Islah di Malaya dengan penerbitan Majalah Al Imam. Tokoh pendidikan Islam moden dengan terasasnya Madrash Al Masyhur, tokoh persuratan dan pesuratkhabaran dengan terasasnya akhbar Saudara dan The Jelutong Press dan Pengarang emansipasi wanita Hikayat Faridah Hanum.
Malangnya rumah bersejarah tersebut kini terlepas daripada jangkauan kita dan lebih memilukan sekali apabila ditukar menjadi rumah peribadatan. Sebelumnya rumah tokoh besar sehebat Shakespeare. Mungkin kita boleh menyebut retorika “Hanya bangsa yang besar mengenang jasa para tokoh dan pahlawannya”. Kita telah gagal untuk menghargainya.
Harta intelek yang tidak ternilai ini telah terbazir dan disia-siakan begitu saja. Bagaimana kita hendak standing dengan bangsa-bangsa yang besar. Mereka menghargai jasa para tetokoh dan leluhurnya. Sedangkan kita tidak. Kita sekadar menyebut dalam sejarah tetapi kenyataannya warisan yang hidup, lenyap dan pupus di depan mata secara sedar.
Kini sebuah lagi perkampungan Melayu yang bersejarah BATU UBAN bakal menjadi mangsa pembangunan. Juga sedang berlaku di depan lensa kita. Kajian demi kajian telah didedahkan tentang nilai sejarah dan peradaban yang tercetus di kampung ini. Adakah sekali lagi kita akan terlelap, tidur berdengkur dan terus melupakan implikasi pahit yang memilukan ini.
Profesor Dr Ahmad Murad Merican daripada Universiti Petronas di Perak menyatakan bahawa Batu Uban adalah pelabuhan yang pertama sebelum George Town. Dibuka oleh Datuk Nakhoda Nan Intan dengan restu baginda Sultan Kedah Tuanku Muhamad Jiwa , 50 tahun sebelum kedatangan Kepten Francis Light pada tahun 1786.
Buktinya terdapat masjid yang didirikan oleh beliau hingga kini. Penemuan demi penemuan telah didedahkan namun gagal menangkap sensitiviti para pemimpin kita. Rasanya bagaimana hendak menyampaikan mesej supaya para pembuat dan pelaksana dasar terjaga dan tersadar .
Ini isu dan krisis penting yang mencabar maruah kita dan mesti diselamatkan. Sebahagian kita kini sedang mamai dan mabuk dengan pembangunan dolar and sen yang memukau. Hakikatnya kita telah terpinggir dan mengalami kepupusan dari segi budaya dan jati diri.
Bahaya telah menimpa ke atas generasi kini apabila melupakan sejarah dan merosakkan asas-asas ketamadunan bangsa. Apa yang hendak kita wariskan kepada mereka bahawa kita punya sejarah dan tamadun yang gemilang. Hanya kenyataan kosong tanpa bukti.
Mahukah kita meninggalkan sejarah kosong yang bakal diisi oleh orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kita. Jauh sekali untuk menghargainya. Mereka punya sejarah dan pentingkannya seperti yang ketara bila P.Pinang diisytiharkan Bandar Raya Warisan Dunia oleh UNESCO.Bagi mereka sejarah hanya bermula di era penjajahan. Kita pun tidak menafikannya.
Batu Uban adalah sebuah bandar dalam peta lakaran Kepten Walter Avis, peta pertama Inggeris sebelum membuka P.Pinang. Ia adalah pusat pengajian dan tumpuan ulama. Ia telah menjadi pelabuhan penghubung di antara P.Pinang dengan Alam Melayu.
Ia adalah pusat pentadbiran sebelum era penjajahan. Baginda sultan Kedah berangkat ke sini dalam lawatannya ke Pulau Pinang. Jika Inggeris melakarnya sebagai bandar. Tentu ianya penting dan punya nilai.
Di sini juga tercetusnya masyarakat Jawi Pekan atau Jawi Peranakan hasil perkahwinan Melayu dengan Arab. Di sini banyak bermulanya peradaban terawal, termasuk pusat pentadbiran dan kosmopolitan Alam Melayu, Nusantara dan Lautan Hindi hingga ke Hadramaut mengikuti kajian Profesor Dr Murad Merican yang mendedahkannya sejak 5 tahun yang lalu.
Ia adalah LIVING HERITAGE yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya hidup berkembang menjadi kebanggaan warisan kita di Malaysia. Langkah yang strategik amat perlu bagi menyelamatkannya. Kerjasama semua pihak didambakan untuk melestarikannya. Terutama kepada kementerian yang berhubung dengan warisan dan kerajaan negeri P.Pinang sendiri.
No comments:
Post a Comment