Friday, January 6, 2012

Siapa peduli :BATU UBAN Tapak Sejarah dan Warisan Melayu sebelum Penjajahan

PERKAMPUNGAN MELAYU BATU UBAN BAKAL PUPUS TINGGAL NAMA DAN SEJARAH

Rentetan di bawah ini memperihalkan apa yang sedang berlaku tetapi tidak mendapat respons daripada pihak yang berautoriti dan ahli akademik sehingga menimbulkan pertanyaan SIAPA PEDULI ?

v PATUTKAH PERKAMPUNGAN MELAYU BATU UBAN DIKORBANKAN KERANA PEMBANGUNAN KOMERSIAL YANG RAKUS

v Batu Uban adalah aset bagi Peradaban Melayu dan Tamadun Islam di Malaysia.Terletak dekat dengan pusat kajian tersohor universti penyelidikan USM. Dalam lengkongan USM ada rumah bersejarah Syed Sheikh Al Hadi, masjid Jelutong,perkuburan Datuk Keramat dll. Terabai dan akan hilang tanpa kepedulian termasuk Batu Uban - masih boleh diselamatkan

v BATU UBAN PETEMPATAN,PELABUHAN DAN TEMPAT BERSEJARAH PERTAMA SEBELUM BERMULANYA ERA PENJAJAHAN DI P.PINANG PADA TAHUN 1786 M - BUKTI PETA TERAWAL KEPTEN WALTER AVIS DAN KAJIAN PROFESOR AHMAD MURAD MERICAN

v Nasib Warisan Melayu dan Islam tidak terbela dan beransur lenyap selepas 55 th merdeka

v WARISAN PENJAJAH DAN KAUM IMIGRAN MENDAPAT PENGIKTIRAFAN UNESCO -WARISAN MELAYU YANG HAKIKI TERLEPAS PANDANG DAN TIDAK ADA TEMPAT LANGSUNG DLM KERANGKA ZON WARISAN P.PINANG – PROF MADYA SOHAIMI AZIZ

v Warisan , Sejarah dan Peradaban Melayu dan Islam punya nilai dalam pembangunan

v Negara-negara Barat dan Timur membangun dengan pesat tetapi tidak mengetepikan sejarah dan peradaban mereka . P.Pinang hanya mengagungkan warisan penjajah dan kaum imigran tetapi mengetepikan warisan yang asal –peribumi dan bumiputeranya

v PALING KETARA P.PINANG TELAH MEMINGGIRKAN WARISAN MELAYU. MELAKA YANG TELAH MENJADI BANDAR WARISAN MELESTARIKANNYA DAN MEMULAKANNYA DENGAN WARISAN PERADABAN MELAYU DAN DIIKUTI OLEH PENJAJAH DAN KAUM IMIGRAN

v Mempertahan kampung bukan bererti menolak pembangunan- Kerajaan perlu menggazet beberapa kawasan BATU UBAN DAN TANJONG TO’ KONG sebagai zon warisan dan melestarikannya sesuai dengan nilai kewarisanan

v USM sebagai pusat ilmu dan terletak berhadapan dengan perkampungan Melayu Batu Uban patut berbuat sesuatu untuk menyelamatkannya. Warisan rumah P.Ramlee yang terkemudian boleh di selamat dan dilestarikan menerusi peranan institusi Muzium Negara Malaysia dengan penglibatan Pengarahnya Puan Zakiah Hanum. Mengapa duluan ini tidak disusuli dan dijadikan sandaran untuk diambil tindakan. SIAPA PEDULI ? Saperti kata Tun Mahathir “Those who neglect history will be condemned to face it “ - SESIAPA YANG MENGETEPIKAN SEJARAH PASTI MENERIMA PADAH.

BATU UBAN : WARISAN YANG BAKAL PUPUS DITELAH ARUS PEMBANGUNAN KOMERSIAL

Satu lagi perkampungan Melayu yang terunggul di P.Pinang bakal tersungkur ranap dan hilang pupus daripada pemandangan.Berlaku apabila pembangunan pesat arus komersialisme yang rakus mengambil tempat di Batu Uban P.Pinang. Sebelumnya perkampungan Melayu Bukit Kecil dan beberapa tempat hilang satu demi satu di depan mata tanpa usaha mengatasinya.

Batu Uban terletak di hadapan USM pusat penyelidikan tersohor yang megah berdiri sejak tahun 1969. Dalam kerangka pembangunan selama 40 tahun bagaimana institusi tersebut boleh terlepas pandang tentang nilai sejarah dan tamadun yang begitu tinggi di persekitarannya. Bahawa P.Pinang ada sejarah dan warisan gemilang sebelum penjajah tiba.

Tidak jauh daripada USM terdapat rumah warisan Syed Sheikh Al Hadi, pusara Allahyarham, Masjid Jelutong yang didirikan oleh Datuk Nakhoda Kecil pembuka Tanjong Penaga yang kini bernama George Town, perkuburan Datuk Keramat seorang peneroka dan ulama dari Aceh, rumah Ahmad Rashid Talu penulis novel Melayu yang pertama dan Bukit Tok Setia dan Datuk Janaton di mana bertempatnya USM Minden P.Pinang kini.

Semua kazanah budaya tersebut seperti tidak bernilai. Tiada kepedulian untuk melestarikannya menjadi warisan. Di luar negara tempat-tempat bersejarah seperti itu telah dikesan dan dijagai kepentingannya.Malah mereka menjangkau jauh sehingga ke luar negera.

Umum mengetahui rumah bersejarah Syed Sheikh Al Hadi sudah jadi apa ? Kita sekadar boleh menyebut rentetan keunggulannya. Tokoh yang memulakan gerakan Islah di Malaya dengan penerbitan Majalah Al Imam. Tokoh pendidikan Islam moden dengan terasasnya Madrash Al Masyhur, tokoh persuratan dan pesuratkhabaran dengan terasasnya akhbar Saudara dan The Jelutong Press dan Pengarang emansipasi wanita Hikayat Faridah Hanum.

Malangnya rumah bersejarah tersebut kini terlepas daripada jangkauan kita dan lebih malang sekali apabila ditukar menjadi rumah peribadatan. Sebelumnya rumah tokoh besar sehebat Shakespeare. Hanya bangsa yang besar mengenang jasa para tokoh dan pahlawannya. Itu sekadar retorika tetapi makna dan hakikatnya melencong jauh.

Kini sebuah lagi perkampungan Melayu yang bersejarah Batu Uban akan menjadi mangsa ditelan arus pembangunan komersial di depan mata kita. Kajian demi kajian telah didedahkan tentang nilai sejarah dan peradaban kampung ini. Adakah sekali lagi kita terlelap, tidur berdengkur dan terlena dek serik menelan sejarah pahit riwayat terakhir warisan kita.

Profesor Ahmad Murad Merican daripada Universiti Petronas di Perak menyatakan Batu Uban adalah pelabuhan yang pertama sebelum George Town. Dibuka oleh Datuk Nakhoda Nan Intan dengan restu baginda Sultan Kedah Tuanku Muhamad Jiwa , 50 tahun sebelum kedatangan Kepten Francis Light. Buktinya terdapat masjid yang didirikan beliau hingga kini.

Batu Uban adalah sebuah bandar dalam peta lakaran Kepten Walter Avis, peta pertama Inggeris sebelum mendarat dan mengisytiharkan pembukaan P.Pinang dengan memberi nama "Prince of Wales Island" atau Pulau Putera Mahkota Wales. Kepentingannya amat menonjol sehingga Inggeris melakarkanya terdapat bandar di sini.

Ia adalah pusat pengajian dan tumpuan ulama dari Alam Melayu dan dunia Islam. Ia telah menjadi pelabuhan penghubung di antara P.Pinang dengan Alam Melayu dan pusat pentadbiran. Baginda sultan Kedah sering melawatnya apabila ke Pulau Pinang. Di sini terdirinya pusat tamadun dan peradaban Melayu yang terunggul sebelum era penjajahan.

Ia juga adalah tempat tercetusnya masyarakat Jawi Pekan atau Jawi Peranakan hasil perkahwinan Melayu dengan Arab. Di sini banyak bermulanya sejarah terawal. Ia adalah LIVING HERITAGE. Kerjasama semua pihak diperlukan untuk melestarikannya. Jangan kita menjadi seperti Pak Kaduk dan Lebai Malang.Menang sorak kampung tergadai.

Juga jangan lupa amanat lama para leluhur kita apabila terpegun dengan pembangunan kebendaan yang melampau. Sanggupkah kita mengorbankan warisan kita yang asal sehingga menjadi sesuatu yang mustahil berlaku. Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan dan musafir lalu rumah ditinggalkan.

Hakikatnya siapa yang menjadi mangsa pembangunan ? Pembangunan mesti seimbang antara tradisi dan pemodenan yang menjadi asas ketamadunan. Bukan pula kita yang menjadi agen pemangsa yang merosakkan kewujudan dan kelestariannya.

No comments:

Post a Comment